Home / Berita / Biasiswa Sultan’s Scholar untuk 6 Pelajar Brunie BIASISWA SULTAN’S SCHOLAR UNTUK 6 PELAJAR BRUNIE

Biasiswa Sultan’s Scholar untuk 6 Pelajar Brunie – Enam pelajar dipilih menjadi penerima anugerah Biasiswa Sultan’s Scholar 2016.


BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menganugerahkan Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada enam orang penuntut bagi sesi akademik 2016-2017 di Istana Nurul Iman, kelmarin.

Turut berkenan berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, yang juga Pengerusi Lembaga Pentadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.


Pada tahun ini, seramai empat orang penuntut menerima Sultan’s Scholar bagi sesi akademik 2016-2017 sementara dua orang lagi menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian pada peringkat tinggi.
Para penerima tersebut ialah Dayang Kadrina Abdul Latif binti Abdullah, Hajah Izzatul Faizah binti Dr. Haji Mohamad, Awang Muhamad Aiman Syafiq bin Haji Ramlee, Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin, Hajah Andi Diinah Kiasatinah binti Haji Alliasim dan Tan Zong Hao. Mereka akan melanjutkan pengajian mereka masing-masing di universiti-unviersiti ternama di United Kingdom dan Mesir.
Dayang Kadrina Abdul Latiff sebelum ini adalah penerima skim biasiswa khas di bawah Tabung Sumber Manusia dan melanjutkan pengajiannya dalam Peringkat ‘A’ di Kolej Tingkatan Enam Cardiff.

Menerusi Sultan’s Scholar, beliau akan melanjutkan pengajian dalam jurusan Undang-Undang di London School of Economics and Political Science.
Sementara itu, Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah, yang juga bekas penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), sebelum ini telah menerima biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pengajian peringkat Diploma ‘Aliyah Qiraat’ di ITQSHHB bagi sesi 2013-2016. Menerusi Sultan’s Scholar, beliau akan meneruskan pengajian dalam ‘Takhassus Al-Quran Wal Qiraat’ di Maahad Qiraat, Al-Azhar Shoubra, Mesir.
Hajah Andi Diinah Kiasatinah yang menerima Biasiswa Sultan’s Scholar ke peringkat lebih tinggi, merupakan penerima biasiswa berprestij itu pada 14 September 2013 dan memperoleh Ijazah BSc (Hons) Kelas Kedua Tertinggi dalam Biomedical Science di University College London.
Pada tahun ini, Hajah Andi Diinah Kiasatinah akan melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana dalam bidang Global Governance and Ethics (Political Science) di University College London.
Bagi Tan Zong Hao pula, beliau sebelum ini ialah penerima Skim Biasiswa Khas Tabung Sumber Manusia untuk melanjutkan pengajian pada Peringkat ‘A’ di Abingdon School, Oxfordshire, United Kingdom.
Tan kemudian meneruskan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana di Warwick University di United Kingdom, dan mendapatkan Kepujian Kelas Pertama dalam Integrated Master Degree dalam Kejuruteraan Awam. Beliau akan meneruskan pengajian pada peringkat PhD dalam Kejuruteraan Awam di Universiti Oxford.
Majlis yang berlangsung semalam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan menyampai Sultan’s Scholar bagi sesi 2016-2017 kepada enam orang penerima yang disusuli dengan Doa Selamat.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda Sultan berkenan bergambar ramai dan beramah mesra bersama para penerima Sultan’s Scholar, keluarga mereka dan jemputan khas.
Turut hadir ialah pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, ahli-ahli Jawatankuasa Kerja dan ahli-ahli Pelaksana Skim Biasiswa Sultan’s Scholar.
Untuk mendapatkan info lanjut mengenai Biasiswa Sultan’s Scholar, sila layari laman rasmi Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di www.YSHHB.org.bn >> Pendidikan ATAU hubungi
Bahagian Pendidikan
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Tingkat 3,
Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Bandar Seri Begawan BS8711
Tel: 2232731/2/3/4 Fax: 2232747
Emel: pendidikan_yshhb@yahoo.com
Sumber Berita: mediapermata.com.bn