MyBrain15 - MyMaster Sholarship

MyMaster diwujudkan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) menerusi Program MyBrain15 bagi membiayai pengajian di peringkat Ijazah Sarjana. Program ini merupakan feeder kepada MyPhD. Objektif MyMaster adalah untuk merangsang dan menggalakkan graduan yang berkaliber meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi dalam bidang-bidang yang penting selaras dengan agenda pembangunan negara. Ianya sekaligus dapat membangun dan mengekalkan modal insan serta menjayakan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.


Syarat
1. Warganegara Malaysia.
2. Tiada had umur.
3. Pemohon mestilah:
  • Orang awam yang tidak bekerja dan tidak berpendapatan tetap; atau
  • Kakitangan swasta; atau
  • Pensyarah IPTS; atau
  • Kakitangan kerajaan/badan berkanun/IPTA (kontrak/sambilan/sementara); atau
  • Pesara kerajaan/badan berkanun/IPTA
4. Pemohon yang bekerja di luar negara tidak layak memohon.
5. Pemohon tidak memiliki Ijazah Sarjana atau setaraf semasa memohon MyMaster.
6. Pemohon mestilah memenuhi syarat kelayakan akademik seperti berikut:
  • Memiliki Ijazah Sarjana Muda atau setaraf yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan PNGK 2.75 - 4.00 atau setara; atau
  • Memiliki Ijazah Sarjana Muda atau setaraf yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan PNGK 2.50 - 2.74 atau setara dan pengalaman kerja dalam bidang berkaitan sekurang-kurangnya 3 tahun
  • Berumur sekurang-kurangnya 30 tahun dan mendapatkan Sijil Perakuan Accreditation of Prior Experiantial Learning (APEL) bagi kemasukan ke program Ijazah Sarjana (tahap 7, Kerangka Kelayakan Malaysia) dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
7. Memenuhi syarat kemasukan ke IPT dan telah menerima surat tawaran tidak bersyarat daripada IPT atau telah memulakan pengajian di IPT. Pengajian mestilah di peringkat Ijazah Sarjana atau sijil profesional yang setaraf dengan Ijazah Sarjana sahaja.
8. Pemohon tidak menerima pembiayaan lain daripada mana-mana pihak untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang sama, kecualiyang dibenarkan sahaja seperti berikut:
  • Pemohon kategori orang awam yang tidak bekerja dan tidak berpendapatan tetap boleh menerima elaun pembantu penyelidik siswazah atau pinjaman pelajaran daripada penaja lain, dengan syarat ia bukanlah pinjaman boleh ubah atau biasiswa penuh.
  • Pemohon kategori kakitangan swasta dan pensyarah IPTS boleh menerima pinjaman pelajaran daripada penaja lain atau pembiayaan tambahan daripada majikan masing-masing, dengan syarat ia bukanlah pinjaman boleh ubah atau biasiswa penuh.
  • Pemohon kategori kakitangan kerajaan/badan berkanun/IPTA (kontrak/sambilan/sementara) dan pesara kerajaan/badan berkanun /IPTA boleh menerima pinjaman pelajaran daripada penaja lain, dengan syarat ia bukanlah pinjaman boleh ubah atau biasiswa penuh.
9. Mod pengajian yang perlu diikuti oleh pemohon adalah seperti berikut:
  • Pemohon kategori orang awam yang tidak bekerja dan tidak berpendapatan tetap mestilah mengikuti pengajian secara sepenuh masa sahaja.
  • Pemohon kategori kakitangan swasta, pensyarah IPTS, kakitangan kerajaan/badan berkanun/IPTA (kontrak/sambilan/sementara) dan pesara kerajaan/badan berkanun/IPTA boleh mengikuti pengajian secara sepenuh masa atau separuh masa.
10. Pemohon boleh mengikuti pengajian dalam semua bidang sama ada di IPTA atau IPTS bertaraf Universiti dan Kampus Universiti Luar Negara.
Tempat Pengajian
(a) Semua IPTA
(b) Semua IPTS bertaraf Universiti dan Kampus Universiti Luar Negara
Sila klik di sini untuk mengetahui senarai IPT berkenaan.
Kemudahan & Elaun
(a) Kemudahan dan elaun yang layak dibayar kepada pemohon yang berjaya adalah seperti berikut:
KATEGORIYURAN PENGAJIANELAUN BANTUAN TESIS
M1 : PenyelidikanTidak melebihi RM10,000Tidak melebihi RM3,000
M2 : Campuran (Kerja Kursus dan Tesis)Tidak melebihi RM10,000Tidak melebihi RM1,500
M3 : Kerja KursusTidak melebihi RM10,000Tiada
    Nota:
    a. Yuran pengajian tidak melebihi RM10,000 untuk keseluruhan tempoh pembiayaan yang diluluskan. Yuran pengajian yang dibiayai tidak termasuk deposit, wang hemat diri dan yuran penginapan.
    b. Tempoh pembiayaan dikira bermula pada semester semasa bagi pelajar yang sedang mengikuti pengajian atau mengikut surat tawaran IPT bagi yang belum memulakan pengajian.
    c. Elaun Bantuan Tesis dibayar sekali sahaja sepanjang tempoh pengajian dan tertakluk kepada siling yuran pengajian yang masih berbaki.
(b) Pembayaran yuran pengajian akan dibuat terus kepada Bendahari IPT berdasarkan invois yang diterima.
Ikatan Perjanjian dengan Kerajaan
(a) Pelajar akan dikenakan ikatan Perjanjian dengan Kerajaan bersama seorang penjamin. Walau bagaimanapun, tiada ikatan Perjanjian untuk berkhidmat dengan mana-mana pihak selepas tamat pengajian.
(b) Perjanjian boleh ditamatkan dan tuntutan ganti rugi boleh dikenakan terhadap pelajar sekiranya:
  • Pelajar menarik diri atau menangguh pengajian tanpa kebenaran;
  • Pelajar diberhentikan pengajian oleh IPT kerana masalah disiplin, kelemahan akademik atau sebab-sebab lain yang telah ditetapkan di bawah peraturan IPT berkenaan; atau
  • Pelajar gagal dalam pengajian
Permohonan
(a) Permohonan dibuka sepanjang tahun mulai 1 Disember 2010 hingga tahun 2015.
(b) Permohonan perlu dibuat secara atas talian (online) melalui laman web MyBrain15 https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrain15
(c) Permohonan perlu dibuat secara atas talian sepenuhnya dengan klik menu LOG MASUK di atas, dan mendaftar sebagai pengguna sistem. Permohonan secara manual tidak akan diproses.
(d) Pemohon hendaklah memastikan rancangan penyelidikan (proposal) telah dipersetujui dan disahkan oleh penyelia. Pengesahan perlu dibuat pada muka surat pertama rancangan penyelidikan tersebut. Sila rujuk Lampiran A untuk panduan penyediaan.
(e) Pemohon dikehendaki mencetak, mengisi dan memuat naik Borang Pengesahan Maklumat Pemohon melalui permohonan ini.
(f) Semua dokumen sokongan yang disertakan perlu diimbas (scan) dari dokumen asal dan disimpan dalam format imej (JPEG) atau PDF dan perlu dimuatnaik (upload) dalam sistem permohonan atas talian ini. Dokumen yang diambil (capture) menggunakan kamera tidak akan diterima.
(g) Jika tiada dokumen asal, pelajar boleh mengimbas dari dokumen salinan photostat tetapi dokumen tersebut perlu diakui sah oleh pegawai Kerajaan / badan berkanun dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41 dan ke atas) / Penggawa / Ketua Kampung / Ketua Masyarakat.
(h) Dokumen sokongan yang perlu dimuatnaik adalah seperti berikut:
BILDOKUMENFORMATSAIZ MAKSIMA
1Salinan kad pengenalan pemohon (depan dan belakang)PDF280KB
2Salinan transkrip akademik di peringkat Ijazah Sarjana MudaPDF400KB
3Salinan surat tawaran kemasukan ke IPT, dan pindaan surat tawaran (jika berkenaan).PDF200KB
4Borang Pengesahan Maklumat PemohonPDF400KB
(i) Pemohon yang mengikuti pengajian secara Mod Penyelidikan juga perlu memuatnaik dokumen berikut:
BILDOKUMENFORMATSAIZ MAKSIMA
1Rancangan penyelidikan (proposal) yang disahkan oleh penyelia (muatturun format di Lampiran A)PDF300KB
(j) Pemilihan calon akan dibuat berdasarkan penilaian oleh suatu Jawatankuasa yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang bermesyuarat secara berkala.
(k) Keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon melalui emel dan sms dalam tempoh 7 hari selepas keputusan Jawatankuasa dan pemohon perlu mencetak surat tawaran secara atas talian.
(l) Jika berjaya, pemohon dikehendaki mengemukakan semua dokumen seperti yang dinyatakan dalam Senarai Semak Dokumen Tawaran MyBrain15 ke Bahagian Biasiswa, KPT dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tawaran program. Kegagalan pelajar untuk berbuat demikian boleh menyebabkan kelulusan yang diberikan ditarik balik dan terbatal.
(m) Pelajar juga bertanggungjawab untuk memberikan sesalinan surat tawaran program kepada pihak Bendahari dan Sekolah Pengajian Siswazah IPT serta memastikan invois yuran pengajian bagi setiap semester dihantar ke Bahagian Biasiswa, KPT.
Untuk maklumat lanjut dan tepat sila berhubung terus dengan pihak MyBrain15 Kementerian Pendidikan Malaysia.https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrain15/v2/index_mymaster.php