BIASISWA ESUKAN GARENA UNTUK PEMAIN LOL DI LIGA KAMPUS MALAYSIA (MYCL)


Biasiswa eSukan Garena untuk Pemain LOL di Liga Kampus Malaysia (MYCL) – Garena selaku syarikat internet terbesar di Asia Tenggara baru-baru ini telah mengumumkan tawaran biasiswa separa yang bernilai RM30,000 khas kepada juara Divisyen Kolej pada edisi kedua Liga Kampus Malaysia (MYCL).

Liga Kampus Malaysia (MYCL) yang dianjurkan 2 kali setiap tahun merupakan satu kejohanan League of Legends yang membabitkan lebih daripada 2,000 sekolah menengah dan institut pengajian tinggi dari seluruh Malaysia. Kejohanan ini memperkenalkan dua divisyen berlainan iaitu Divisyen Kolej bagi pelajar Kolej manakala Universiti diikuti Divisyen Junior bagi pelajar sekolah menengah.


Buat julung kalinya di Malaysia, Garena bakal menganugerahkan satu biasiswa separa bernilai RM 6,000 kepada setiap pelajar yang mewakili pasukan juara nanti sebagai langkah utama mereka dalam membangunkan arena eSukan kompetitif di Malaysia. Selain hadiah wang tunai, juara kampus juga secara automatik akan turut mewakili Malaysia ke Filipina untuk menyahut cabaran Kejuaraan Kampus Antarabangsa League of Legends (LICC) yang akan diadakan pada hujung tahun ini.
Naib Presiden Garena, Jason Ng berkata: “Kami amat berbesar hati untuk melihat pembangunan pesat eSukan di Malaysia baru-baru ini, serta pelancaran Biasiswa Garena menerusi Liga Kampus Malaysia iaitu langkah seterusnya demi melahirkan bakat tempatan yang berkaliber tinggi. Dengan ini, kami ingin menubuhkan ekosistem yang stabil sekali gus membantu para pelajar supaya dapat merealisasikan impian mereka dalam eSukan.”
“Sama ada mereka menuju ke arah profesional atau tidak, pemain-pemain negara akan memanfaatkan kemahiran hidup seperti penyelesaian masalah, sifat kerjasama dan budaya kreativiti tinggi dalam diri. Saya amat teruja dapat melancarkan MYCL secara rasmi hari ini.”
Bagi edisi kedua ini, MYCL berhasrat untuk menggabungkan semangat pekerjaan dan aksi kompetitif permainan video ke dalam arena eSukan. Setiap kampus memainkan peranan penting bagi menubuhkan komuniti eSukan yang lebih erat. Justeru, Garena turut memperkenalkan Sistem Ranking Pelajar iaitu satu platform untuk menyatukan kesemua pelajar dari seluruh Malaysia.
MYCL 2016 akan berlangsung pada 13 Ogos 2016 dengan sesi kelayakan negeri, dimana wakil-wakil terbaik Divisyen Kolej dan Junior bakal berentap pada perlawanan final di Universiti Asia Pasifik (APU), 24 September nanti.
Pendaftaran pasukan bagi sesi kelayakan mula dibuka pada 20 Julai 2016. Jadi kepada anda yang ingin menyertai kejohanan tersebut, anda boleh memuat turun borang pendaftaran yang boleh didapati di laman sesawang berikut mycl.lol.garena.com.