SYARAT DAN TIPS KEMASUKAN KE MAKTAB RENDAH SAINS MARA(MRSM) BAGI TINGKATAN 1 DI SEMENANJUNG MALAYSIA

Syarat dan tips kemasukan ke maktab rendah sains MARA (MRSM) bagi tingkatan 1 di semenanjung Malaysia. Sistem permohonan Online bagi MRSM akan dibuka kepada umum bagi membuat permohonan bagi setiap tahun.


Bagi mereka yang mempunyai anak yang berada di tahun 6 bagi tahun semasa, kemungkinan anda ingin membuat permohonan bagi kemasukan ke MRSM untuk anak anda. berikut adalah syarat yang perlu anda tahu sebelum melakukan permohonan.

MRSM menyediakan sistem pendidikan yang berteraskan ilmu, teknologi
dan nilai-nilai keusahawanan bagi melahirkan insan cemerlang yang holistik dan
berintegriti. MARA mempelawa pelajar TAHUN ENAM BAGI TAHUN SEMASA yang berminat serta cemerlang dalam sahsiah diri dan akademik untuk kemasukan ke tingkatan 1 MRSM  di Semenanjung Malaysia.

Keutamaan diberikan kepada pemohon daripada keluarga berpendapatan
rendah di luar bandar dan bandar. Pemohon hendaklah mempunyai berkeperibadian yang baik dan memenuhi syarat kelayakan seperti di bawah:

  •  Memiliki sikap diri yang positif.
  • Tahap kesihatan yang baik dan mampu menjalani program kecerdasan fizikal.
  • Pelajar bersedia untuk tinggal di asrama sepanjang tempoh pengajian dan mematuhi arahan serta peraturan dengan penuh disiplin.Memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2016.
  • Aktif kegiatan kokurikulum dan bersedia mengikuti pelbagai program yang dianjurkan.
  • Sentiasa menjaga nama baik keluarga, MRSM dan MARA.

Terdapat lima program yang berteraskan Science, Technology, Engineering
and Mathematics (STEM) dilaksanakan di MRSM, adalah seperti berikut:
  1. MRSM Program Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains MARA (SPMRSM) 
  • Program ini melaksanakan Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM)

ii. MRSM Program SPMRSM Ulul Albab

  • Program SPMRSM Ulul Albab mengekalkan kurikulum sedia ada yang dilaksanakan di semua MRSM seluruh Malaysia dengan tambahan program hafazan Al-Quran. Untuk peperiksaan SPM pelajar akan mengambil subjek Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran & Al-Sunnah dan Pendidikan Syari’ah Islamiah selain subjek teras yang lain.

iii. MRSM Program SPMRSM Cambridge IGCSE

  • Program SPMRSM Cambridge IGCSE (Cambridge International General Certificate of Secondary Education) ialah Sistem Pendidikan MRSM yang menawarkan dwisijil iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan IGCSE dalam tempoh lima tahun pengajian. Pelajar menduduki kedua-dua peperiksaan iaitu Cambridge IGCSE semasa di tingkatan empat dan SPM semasa di tingkatan lima.

iv. MRSM Program SPMRSM IB Middle Years Programme (MYP)

  • Program SPMRSM IB MYP mengekalkan kurikulum sedia ada yang dilaksanakan di semua MRSM seluruh Malaysia dan mengaplikasikan pendekatan MYP dari Sistem Pendidikan International Baccalaureate.

iv. MRSM Program SPMRSM Teknikal

  • SPMRSM Teknikal menerapkan elemen teknikal melalui subjek Sains Kejuruteraan yang merangkumi ilmu kejuruteraan robotik, kejuruteraann mekanikal dan kejuruteraan elektrikal dari Tingkatan 1 hingga 3. Kesinambungannya diteruskan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu pelajar ditawarkan dengan jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik.

A. CARA MENDAPATKAN KATA LALUAN MELALUI ONLINE :
Pemohon baru perlu mendapatkan kata laluan permohonan terlebih dahulu secara dalam talian (online). Pemohon perlu layari laman web berikut untuk mendapatkan kata laluan permohonan. https://mohon.mrsm.edu.my/form1/login.jsp
Pengambilan kata laluan permohonan adalah percuma.

B. MENGISI BORANG PERMOHONAN ONLINE :
Sila rujuk Lampiran 1. Selepas mendapat kata laluan, pemohon mestilah mengisi borang permohonan online melalui laman web https://mohon.mrsm.edu.my/form1/login.jsp. Pemohon mestilah mengisi semua maklumat yang diperlukan di dalam borang permohonan online dan memastikan borang tersebut dihantar secara online. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web MARA di alamat : http://www.mara.gov.my

C. ONLINE SELF-ASSESSMENT (OSA)

Pemohon juga perlu menjawab Online Self-Assessment bagi subjek Keperibadian dan Bahasa Inggeris dalam tempoh yang ditetapkan di pautan (link) yang akan diberikan dalam cetakan borang permohonan. Pemohon perlu mengisi nombor telefon dan emel yang boleh dihubungi untuk memudahkan penyaluran maklumat permohonan. Tempoh mengisi borang permohonan online dan menjawab Online Self-Assessment adalah tertakluk kepada MRSM
Pemohon mestilah memilih MRSM yang dinyatakan mengikut program sebagai pilihan pertama semasa mengisi borang permohonan. Cetakan borang permohonan dan semua dokumen berkaitan yang telah disahkan perlu dibawa ke pusat ujian semasa UKKM.

D. UJIAN KECENDERUNGAN KEMASUKAN KE MRSM (UKKM)
DAN TEMUDUGA

Pemohon yang layak menduduki UKKM akan dimaklumkan melalui emel dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Kelayakan menduduki UKKM ini akan dimaklumkan selepas keputusan UPSR diumumkan. Pemohon perlu log masuk semula ke dalam sistem permohonan melalui laman web
https://mohon.mrsm.edu.my/form1/login.jsp untuk memilih pusat ujian UKKM. Pemilihan pusat ujian ini akan dibuka selama seminggu. Sila rujuk laman web MARA dari semasa ke semasa untuk maklumat terkini. Pemohon akan menduduki UKKM pada tarikh dan pusat ujian yang telah dipilih berdasarkan kekosongan. Pemohon yang berjaya ditawarkan UKKM mestilah membawa cetakan borang permohonan dan dokumen berkaitan yang telah
disahkan ke pusat ujian yang dipilih.

D. TARIKH TUTUP

Tarikh akhir permohonan secara online adalah tertakluk kepada MRSM

Lihat juga:



E. MAKLUMAT TAMBAHAN

Hanya permohonan yang memenuhi syarat kelayakan sahaja akan dipertimbangkan. Permohonan yang tidak lengkap seperti tidak menghantar secara online tidak akan dipertimbangkan. Pemohon yang berjaya sahaja akan dihubungi. Sekiranya pemohon tidak menerima sebarang jawapan permohonan dianggap tidak berjaya. Pemohon yang berjaya akan ditempatkan di MRSM yang bersesuaian mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh MARA.
Pemohon yang ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kementerian Pendidikan Malaysia tidak akan ditawarkan ke MRSM. Keputusan Jawatankuasa Pengambilan Pelajar MRSM adalah muktamad.