PEMEGANG BIASISWA MAHU BEKERJA DENGAN SARAWAK ENERGY

KUCHING: Pemegang biasiswa Sarawak Energy memilih syarikat kuasa negeri ini sebagai kerjaya masa depan mereka sebaik menamatkan pengajian dalam bidang yang diceburi.


Antara yang menyimpan cita-cita untuk bekerja di bawah syarikat ini ialah Daphne Wong yang merupakan penuntut tahun pertama Swinburne University of Technology Sarawak, Kampus Kuching.
Daphne, 19, merupakan salah seorang daripada 63 pemegang biasiswa Sarawak Energy dan kini melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Perakaunan dan Kewangan).
“Sarawak Energy merupakan sebahagian daripada impian kerjaya saya setelah menamatkan pengajian nanti.
“Terpilih sebagai antara pemegang biasiswa Sarawak Energy menaikkan lagi semangat saya untuk berkhidmat dengan syarikat ini dalam bidang yang saya ikuti ketika ini.
“Saya yakin dengan pencapaian akademik cemerlang serta latihan industri yang disediakan di Sarawak Energy sendiri, peluang untuk diambil bekerja adalah tinggi,” kata Daphne yang ditemui semalam.
Terdahulu Daphne bersama 24 daripada 63 pemegang biasiswa Sarawak Energy menghadiri sesi ‘Scholars Get-Together’ di Galleria, Menara Sarawak Energy di sini.
Sesi tersebut diadakan khas oleh Sarawak Energy untuk memberi peluang kepada pemegang biasiswa mereka bersemuka dengan ketua-ketua jabatan syarikat itu bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai budaya kerja di Sarawak Energy.
Seorang lagi pemegang biasiswa, Esther Kueh, 21, yang merupakan penuntut tahun ketiga Curtin University, Miri dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan turut berharap akan diterima bekerja di Sarawak Energy selepas tamat pengajian.
Pengalaman menjalani latihan industri di syarikat ini serta budaya kerja menyenangkan menaikkan lagi semangat Esther untuk menjadi sebagai sebahagian daripada warga kerja Sarawak Energy.
Sumber: TheBorneoPost